Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang kini merupakan beregu lelaki No.2 negara berjaya melepasi ujian pertama sekaligus mara ke pusingan 16 Terbuka China 2024.
Sze Fei-Izzuddin yang turut diletakkan selaku pilihan ketujuh dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 melepasi ujian tersebut susulan menumpaskan beregu China, Chen Bo Yang dan Liu Yi pada pusingan 32, sebentar tadi.
Perlawanan menentang pasangan No.21 dunia itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin terlebih dahulu bermula dengan langkah kiri apabila tewas 17-21 pada set pertama.
Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin berhasil bangkit pada set kedua dan merekodkan kemenangan 21-12 sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pertarungan pada set penentuan berlangsung sengit namun Sze Fei-Izzuddin berjaya memberikan fokus dengan mendapatkan mata demi mata sehingga ke penghujungnya dan menutupnya dengan skor 21-19.
Kemenangan pada hari ini bukan sahaja melayakkan mereak ke peringkat seterusnya dalam Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini bahkan mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Bo Yang-Liu sejak bertemu buat pertama kalinya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.
Pada peringkat seterusnya, Sze Fei-Izzuddin akan berentap menentang samada beregu senegara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King atau beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi dan Presley Smith.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia