Beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 dalam saingan Terbuka China 2024.
Soon Huat-Shevon yang merupakan pasangan suami isteri melakar kemaraan berkenaan dengan menumpaskan beregu Singapura juga merupakan pasangan suami isteri, Terry Hee Yong Kai dan Jessica Tan Wei Han.
Dalam pertarungan tersebut, Soon Huat-Shevon merakamkan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-15 dalam tempoh masa sekitar setengah jam sahaja.
Itu menjadi kemenangan keempat berturut-turut Soon Huat-Shevon ke atas Terry-Jessica di kejohanan antarabangsa selepas Far East Malaysia Masters 2017, Korea Masters 2022 dan Terbuka Jerman 2024.
Sementara itu, peringkat seterusnya bagi Jelajah Dunia BWF Super 1000, Soon Huat-Shevon akan berhadapan cabaran daripada beregu No.2 Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran untuk merebut tiket ke suku akhir.
Sebagai rekod, Soon Huat-Shevon dan Supak-Supissara telah bertemu sebanyak empat kali sebelum ini dan ianya berakhir seimbang dengan kedua-duanya mencatatkan dua kemenangan masing-masing.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia