Satu kejutan terlakar di saingan Terbuka China, sebuah Jelajah Dunia BWF Super 1000, apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali berturut-turut iaitu Viktor Axelsen ditunjukkan jalan keluar seawal peringkat pusingan 32.
Lebih mendukacitakan, Axelsen yang juga juara bertahan ditunjukkan jalan keluar oleh perseorangan No.7 tuan rumah yang menduduki ranking ke-28 dunia, Lei Lan Xi.
Biarpun menghuni ranking jauh lebih rendah, Lan Xi berjaya menumbangkan Axelsen buat julung kali dalam kariernya menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 17-21 dan 21-16 dalam tempoh masa sekitar satu jam.
Kemenangan itu hadir lebih kurang dua hari selepas Lan Xi ditumpaskan Axelsen dalam perlawanan akhir Terbuka Hong Kong 2024 yang berlangsung pada Ahad lalu.
Ketika itu, Lan Xi tewas secara “straight set” menerusi skor 9-21 dan 12-21 dalam tempoh masa 44 minit.
Sementara itu, susulan kemenangan dilakarnya pada pusingan 32, Lan Xi dapat meneruskan kemaraan ke peringkat pusingan 16.
Menantinya di peringkat tersebut samada pemain Jepun, Kenta Nishimoto atau perseorangan India, Kiran George untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Untuk makluman, Axelsen, pilihan kedua, menjadi pemain ketiga yang diletakkan dalam kelompok “seeded” yang tersingkir di pusingan 32 selepas Lee Zii Jia (3) dan Li Shi Feng (4).