Terbuka China: Pang Ron-Su Yin Kejutkan Beregu No.2 Chinese Taipei
September 18, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.4 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin berjaya melangkah ke pusingan 16 dalam siri Jelajah Dunia BWF Super 1000 buat julung kalinya bergandingan sejak November tahun lalu.

Pang Ron-Su Yin melakar kemaraan tersebut selepas mengejutkan beregu No.2 Chinese Taipei yang menduduki ranking ke-13 dunia, Yang Po Hsuan dan Hu Ling Fang pada pusingan 32 Terbuka China, pada hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Pang Ron-Su Yin merekodkan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-16 dalam masa tidak sampai setengah jam.

Untuk makluman, Pang Ron-Su Yin melakar kemenangan terbabit pada pertemuan sulungnya ke atas Po Hsuan-Ling Fang di pentas kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, pada pusingan 16 kelak, Pang Ron-Su Yin akan bertemu rakan senegara iaitu Yap Roy King dan Valeree Siow untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Pertemuan pada hari esok itu akan menjadi yang pertama memandangkan kedua-duanya belum pernah berentap sesama sendiri di kejohanan antarabangsa.

Terdahulu, Roy King-Valeree mara ke pusingan 16 secara automatik kerana mendapat “bye” pada peringkat pusingan 32.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen