PM Minta FAM Sediakan KPI, RM15 Juta Termasuk Skuad B-23
September 19, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menyediakan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk menjamin peningkatan prestasi skuad bola sepak kebangsaan iaitu Harimau Malaya.

Dua perkara itu dituntut oleh Perdana Menteri (PM), YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai balasan kepada komitmen kerajaan yang bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membantu usaha untuk memperkasakan skuad kebangsaan.

Pada masa yang sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu siaran media yang dikongsikan memaklumkan peruntukan tersebut termasuk untuk usaha memperkasakan skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

Tuntutan itu dikemukakan oleh Anwar ketika bertemu kepimpinan FAM yang dihadiri oleh Presiden, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman pada hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha KBS, Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub dan Timbalan KP MSN, Jefri Ngadirin.

Tegas Anwar, peruntukan sebanyak RM15 juta akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Kewangan dan KBS.

Untuk makluman, pemberian peruntukan sebanyak RM15 juta itu diumumkan oleh Anwar semasa Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan pada 3 September lalu dimana RM10 juta daripada kerajaan manakala baki RM5 juta lagi merupakan tajaan daripada syarikat-syarikat swasta.

Featured Image: Facebook Anwar Ibrahim

Komen