KBS Minta Khidmat Bantuan AFC Nilai Semula Keberkesanan NFDP
September 19, 2024 Hafizuddin Omar

Keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) akan dinilai semula oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menerusi satu siaran media yang dikongsikan pada hari ini, penilaian semula (review) oleh KBS pimpinan YB Hannah Yeoh itu akan dilakukan dengan khidmat bantuan badan induk bola sepak asia iaitu Konfederasi Bola Asia (AFC).

Dimaklumkan, perkara itu dijalankan supaya penambahbaikan boleh dilakukan terhadap program pembangunan bola sepak yang bermula dari tahun 2011 itu.

Untuk makluman semua, NFDP merupakan program pembangunan bola sepak secara menyeluruh kepada komuniti berumur 7 hingga 17 tahun di setiap negeri yang terdiri daripada Akademi Tunas, Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Di bawah NFDP juga terdapat Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) yang merupakan sebuah akademi elit bagi program pembangunan bola sepak negara dengan objektif setiap pemain elit yang ditempatkan di situ akan terpilih untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.

Visi yang digariskan dalam NFDP adalah untuk melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten. 

Sementara itu, misinya pula untuk mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan pembangunan bakat, ekosistem, kuantiti dan kualiti pemain bola sepak negara. 

Komen