Terbuka China: Pang Ron-Su Yin Jejak Suku Akhir Super 1000
September 19, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.4 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin mencipta satu lagi pencapaian baharu sejak bergandingan bersama bermula November tahun lalu.

Pencapaian yang dimaksudkan itu adalah melakar kemaraan sulung ke peringkat suku akhir dalam siri Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Ianya susulan gandingan pemain berusia 26 dan 21 tahun masing-masing itu meraih kemenangan ke atas beregu senegara, Yap Roy King dan Valeree Siow pada peringkat pusingan 16, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Pang Ron-Su Yin menampilkan persembahan cemerlang dan berhasil menundukkan Roy King-Valeree secara “straight set” menerusi skor 21-9 dan 21-15 dalam tempoh 24 minit.

Sementara itu, menanti Pang Ron-Su Yin pada peringkat suku akhir adalah beregu campuran No.1 Indonesia yang menduduki ranking ke-16 dunia, Dejan Ferdinansyah dan Gloria Widjaja.

Pasangan dari negara jiran tetangga ini melakar kemaraan dengan menyingkirkan beregu campuran No.1 Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 13-21 dan 21-9 dalam tempoh masa hampir satu jam.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan, Pang Ron-Su Yin dan Dejan-Gloria belum pernah berentap dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen