
Kempen beregu badminton wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam saingan Terbuka China 2024 berakhir pada peringkat pusingan 16.
Pearly-Thinaah yang diletakkan selaku pilihan keenam kejohanan tidak dapat menempatkan diri mereka dalam kelompok lapan terbaik apabila tewas kepada beregu No.5 tuan rumah, Li Yi Jing dan Luo Xu Min.
Gandingan pemain China berusia 22 tahun masing-masing itu menampilkan persembahan yang penuh bertenaga dan cemerlang sekaligus berhasil menumpaskan Pearly-Thinaah secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-18 dalam tempoh masa 40 minit.
Lebih mengagumkan, Yi Jing-Xu Min melakar kemenangan bergaya ke atas semi-finalis Sukan Olimpik 2024 itu pada pertemuan sulung mereka di kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, keputusan pada hari ini menjadikan Pearly-Thinaah mengulangi kedukaan ketika beraksi Terbuka China edisi lalu dimana mereka turut sama terkandas pada peringkat pusingan 16.
Pada ketika itu, Pearly-Thinaah dikekang kemaraannya ke suku akhir oleh beregu Jepun, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota menerusi skor 21-16 dan 21-16.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia