
Beregu lelaki No.3 tanah air, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Terbuka China 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Lebih manis, kejayaan itu dilakar dengan menyingkirkan beregu handalan dengan bergaya dari Korea yang muncul juara Kejohanan Dunia BWF 2023, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada pusingan 16, hari ini.
Dalam pertarungan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, Wei Chong-Kai Wun menumpaskan Min Hyuk-Seung Jae secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-19 dalam tempoh masa 39 minit.
Kejutan yang dilakar pada hari Ini juga Wei Chong-Kai Wun merekodkan kemenangan kedua ke atas Min Hyuk-Seung Jae di kejohanan antarabangsa selepas mewaskan mereka di Terbuka Indonesia 2024.
Untuk peringkat seterusnya, Wei Chong-Kai Wun akan berhadapan pula dengan pilihan ketujuh kejohanan merangkap rakan senegara iaitu Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin untuk merebut tempat ke peringkat separuh akhir.
Sze Fei-Izzuddin yang kini bergerak secara sendirian atau bebas (independent) mengesahkan tempat di peringkat suku akhir dengan mengatasi cabaran beregu lelaki No.6 Malaysia, Arif Junaidi dan Yap Roy King.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia