
Kemaskini oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada hari ini menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan terus mencatatkan peningkatan dengan menduduki ranking ke-132 dunia dengan mengumpul 1,117.64 mata.
Ianya meningkat sebanyak dua anak tangga berbanding kedudukan pada kemaskini sebelumnya iaitu 18hb Julai 2024 – ranking ke-134 dunia.
Peningkatan itu disumbangkan oleh dua kemenangan skuad Harimau Malaya ketika berentap menentang Filipina dan Lubnan dalam saingan Pesta Bola Merdeka 2024 semasa Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA, baru-baru ini.
Satu perkara yang menarik untuk diperhatikan kemaskini pada kali ini adalah kejatuhan berterusan oleh India – pasukan terakhir dalam Balang 1 bagi undian Pusingan Akhir Piala Asia 2027.
India kini berada pada kedudukan ke-126 dunia, mengumpul 1,133.56 mata – jatuh dua anak tangga berbanding kedudukan terakhirnya sebelum ini.
Perkembangan itu menyaksikan perbezaan India dan Malaysia semakin mengecil iaitu enam anak tangga manakala perbezaan mata pula adalah sebanyak 15.88 mata sahaja.
Perbezaan yang semakin kecil itu mencerahkan peluang Malaysia untuk memintas kedudukan India dalam Ranking Dunia sekaligus memasuki Balang 1 menjelang sesi undian Pusingan Akhir Piala Asia 2027, pada Disember nanti.
Untuk Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA bulan Oktober, Malaysia telahpun mengesahkan satu perlawanan menentang New Zealand di Auckland. Manakala satu lagi perlawanan akan diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.
India pula akan menyertai Kejohanan Tri-Nation anjuran Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) yang turut disertai tuan rumah, Vietnam serta Lubnan pada Oktober.
Sekiranya Malaysia berjaya mengekalkan kemenangan dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa yang berikutnya manakala India terus mengalami kekalahan pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA Oktober dan November, tidak mustahil untuk Malaysia memintas kedudukan India tersebut.
Featured Image: Football Association of Malaysia