Pemain Naturalisasi Harimau Malaya Cetak Gol Sulung Dalam V.League 1
September 23, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain bola sepak kelahiran Brazil yang mempunyai kerakyatan Malaysia, Endrick dos Santos berjaya mencetak jaringan sulungnya dalam saingan V.League 1.

Endrick yang melakukan penampilan kedua bersama Ho Chi Minh City FC dalam saingan liga tersebut menjaringkan gol sulungnya ketika bertemu naib juara V.League 1 musim lalu, Binh Dinh FC.

Gol tersebut disempurnakan Endrick pada minit ke-54 selepas dilorongkan bola oleh pemain Estonia, Erik Sorga ke dalam kontak penalti sekaligus mengikat Binh Dinh FC dengan kedudukan 1-1.

Selang 25 minit kemudian, pemain gantian, Dao Quoc Gia menambah satu lagi jaringan buat Ho Chi Minh City FC sekaligus memastikan kemenangan buat pasukan pelawat pada aksi minggu kedua V.League 1 2024-25.

Keputusan itu membolehkan Ho Chi Minh City FC menduduki tangga kelima liga selepas terikat tanpa jaringan pada aksi sulung V.League 1 bertemu Viettel FC pertengahan September baru-baru ini.

Untuk makluman semua, jaringan oleh Endrick itu juga memahat namanya selaku pemain Malaysia pertama yang menjaringkan gol dalam kancah V.League 1.

Sebelum ini, Endrick yang menyertai Ho Chi Minh City FC secara pinjaman telah menempa nama selaku pemain Malaysia pertama yang beraksi dalam kancah bola sepak di negara berkenaan.

Featured Image: Ho Chi Minh City FC

Komen