Erling Haaland Kumpul 100 Gol Bersama Manchester City
September 23, 2024 Hafizuddin Omar

Penyerang prolifik Norway yang lahir di England, Erling Haaland melakar satu lagi pencapaian baharu dalam karier bola sepak apabila merekodkan 100 jaringan gol bersama Manchester City.

Angka ke-100 itu hadir ketika Haaland, 24 tahun, mewakili skuad berjulukan The Cityzen melayan kunjungan Arsenal pada aksi kelima Liga Perdana (PL) pada Ahad.

Haaland menjelmakan jaringan ke-100 itu selepas mendapat suapan cantik daripada Savinho sekitar minit kesembilan permainan sambil disaksikan 51,694 penonton di Stadium Etihad.

Bagaimanapun, perlawanan yang mencipta rekod baharu dalam karier Haaland itu berakhir dengan keputusan Arsenal berjaya mengikat Manchester City dengan keputusan seri 2-2.

Sebagai rekod, Haaland meraih jaringan ke-100 tersebut selepas membuat 105 penampilan bersama Manchester City – menyamai pencapaian 100 gol dijaringkan oleh Cristiano Ronaldo bersama Real Madrid.

Selain itu, Haaland menjadi pemain ke-19 dalam sejarah Manchester City memasuki kelompok pemain menjaringkan 100 gol buat kelab berkenaan.

Sebagai tambahan, gol yang dijaringkan oleh Haaland ketika bertemu Arsenal itu juga merupakan yang kesepuluh dalam kempen Liga Perdana 2024-25 – penjaring terbanyak setakat ini.

Secara keseluruhan pula, Haaland sudah mengumpul 267 gol dalam perlawanan-perlawanan rasmi bersama pelbagai kelab seperti Borussia Dortmund,  Molde FK dan Red Bull Salzburg serta skuad kebangsaan Norway.

Featured Image: Manchester City

Komen