Astro Buka Penyertaan Klinik STL Pulau Pinang & Johor – Umur 13-17 Tahun
September 24, 2024 Hafizuddin Omar

Klinik Sepak Takraw League (STL) yang berlangsung di Pulau Pinang dan Johor kelak akan dapat disertai secara terbuka oleh generasi muda berumur 13 hingga 17 tahun tanpa mengira jantina lelaki mahupun wanita.

Dua edisi Klinik STL tersebut dijadualkan berlangsung di Spice Arena, Pulau Pinang (19hb September) dan Arena Larkin, Johor (1hb Oktober) kelak, demikian makluman oleh Astro – penyiar rasmi saingan STL.

Untuk makluman semua, Klinik STL merupakan program yang memberikan peluang kepada para peserta mempelajari asas sepak takraw serta peluang untuk bertemu dengan pemain-pemain profesional yang beraksi dalam kancah STL.

Sebelum ini, program Klinik STL yang dianjurkan di Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak melibatkan peserta dalam kalangan para pelajar daripada sekolah-sekolah yang terpilih.

Bagaimanapun, mengambil kira sambutan yang begitu menggalakkan, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John memaklumkan pihaknya mengambil inisiatif untuk membuka pendaftaran Klinik STL kepada orang ramai mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.

Sebagai tambahan, Klinik STL pada tahun ini yang memasuki musim kedua penganjurannya turut mendapat sokongan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

Selain itu, ianya turut mendapat sokongan penganjuran oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dimana pelajar-pelajar yang menyertainya akan diberikan markah PAJSK berbentuk merit penglibatan dan penyertaan peringkat negeri.

Bagi yang berminat untuk menyertai Klinik STL di Pulau Pinang dan Johor, layari www.astro.com.my/klinikSTL sekarang.

Komen