
Gandingan pemain negara yang menjuarai saingan Terbuka China 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 1000, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin kini tergolong dalam kelompok lapan beregu lelaki terbaik dunia.
Perkembangan itu hadir susulan kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini meletakkan mereka di kedudukan kelapan dalam Ranking Dunia – meningkat empat anak tangga berbanding kedudukannya pada minggu lalu.
Lonjakan itu dicetuskan oleh pungutan 13,500 mata hasil daripada menjuarai Terbuka China dengan menumbangkan beregu tuan rumah, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu.
Bertambah menggembirakan, ini merupakan kedudukan tertinggi dikecapi Sze Fei-Izzuddin dalam Ranking Dunia sejak kedua-duanya membentuk gandingan dalam kategori beregu lelaki bermula pada tahun 2016.
Sementara itu, sepasang lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi yang mara sehingga ke separuh akhir Terbuka China 2024 pula mencatatkan peningkatan empat anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-18 pada minggu ini.
Manakala kedudukan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta beregu No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula kekal di tangga kelima dan ke-13 masing-masing.
Featured Image: Facebook VICTOR