
Beregu campuran negara merangkap pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai menepati ramalan untuk kembali dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia selepas menjejaki pentas akhir Terbuka China 2024.
Pengesahan itu hadir selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada hari ini yang menyaksikan Soon Huat-Shevon menaiki dua anak tangga berbanding kedudukannya pada minggu lalu.
Kenaikan itu dicetuskan oleh pertambahan 11,500 mata yang dipungut daripada saingan Terbuka China 2024 sekaligus membolehkan mereka mengumpul 63,130 mata secara keseluruhan.
Sebagai rekod, kali terakhir Soon Huat-Shevon dilihat berada di kedudukan kesepuluh dunia adalah sekitar 13 bulan yang lalu.
Sementara itu, kemaskini kedudukan beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kekal tidak berganjak di posisi kesembilan dunia.
Manakala Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yi yang mara sehingga peringkat suku akhir pula meningkat sebanyak tiga anak tangga dan menduduki ranking ke-29 dunia bermula hari ini.
Featured Image: Facebook VICTOR