Selangor Rekrut Seorang Lagi Pemain Jordan – Mohammad Abualnadi
September 26, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC mengikat seorang lagi pemain Jordan iaitu Mohammad Abuanaldi bagi memperkukuhkan lagi pasukan untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2024-25.

Pendaftaran pemain versatil yang mampu beraksi sebagai bek kiri dan sayap kiri itu dilakukan oleh Selangor FC sebelum berakhirnya jendela perpindahan pemain pertengahan musim baru-baru ini.

Abualnadi, 23 tahun, merupakan kelahiran Jordan-Amerika memulakan karier bersama Kansas Academy semasa berusia 18 tahun dan bertapak di Amerika Syarikat selama lima musim dengan beraksi dalam saingan US Open Cup, MLS Next Pro dan USL Championship bersama Sporting Kansas City dan Sporting Kansas City II.

Selepas itu, Abualnadi melebarkan karier bola sepak di Jordan dengan menyertai Al Hussein SC dan Al-Qasim SC.

Selain itu, pemain berketinggian 1.85 meter (m) ini telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan Jordan pada Julai lalu dan berjaya melakukan debut ketika menentang Korea Utara pada 23 Ogos lalu.

Untuk makluman semua, kemasukan Abualnadi menjadikan Selangor FC menggantikan pemergian penyerang sayap kiri, Reziq Banihani dan kekal mempunyai tiga pemain dari Jordan termasuk Noor Al-Rawabdeh dan Ali Olwan.

Featured Image: Selangor FC

Komen