
Gandingan Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong menempatkan diri mereka dalam kelompok 40 beregu lelaki terbaik dunia pada minggu ini – tertinggi sejak mereka bergandingan bersama.
Ianya selepas gandingan pemain 31 dan 39 tahun masing-masing ini mencatatkan peningkatan sebanyak lapan anak tangga selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia, pada hari ini.
Kenaikan lapan anak tangga itu dicetuskan oleh kemaraan mereka sehingga ke peringkat separuh akhir Terbuka Macau 2024 pada minggu lalu yang memberikannya pertambahan sebanyak 4,900 mata sekaligus mengumpul 34,150 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, sepasang lagi beregu yang mara ke peringkat separuh akhir di Terbuka Macau adalah beregu campuran, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin.
Bagaimanapun, kemaraan mereka ke peringkat tersebut tidak mengubah sebarang kedudukan dalam Ranking dunia dan kekal di tangga ke-29 dunia.
Sementara itu, perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh yang mara sehingga ke pusingan 16 di kejohanan yang sama pula meningkat satu anak tangga dan berada di kedudukan ke-51 dunia.