Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner Setuju Tamatkan Kontrak

October 1, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jodoh Tomislav Steinbruckner bersama Terengganu FC selaku ketua jurulatih menemui titik noktahnya selepas 22 bulan.

Ini susulan Terengganu FC selaku majikannya dan dirinya telah mencapai persetujuan bersama dalam satu perbincangan untuk menamatkan kontrak Tomislav selaku ketua jurulatih bagi skuad berpangkalan di pantai timur terbabit.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Terengganu menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Bagaimanapun, perbincangan akhir berkenaan terma penamatan masih dalam perbincangan melibatkan kedua-dua pihak.

Dimaklumkan, dua jurulatih yang turut sama mengikuti proses penamatan kontrak tersebut adalah penolong jurulatih, Ivica Vranjes dan jurulatih kecergeasan, Hrvoje Bradasic.

“Langkah ini diambil dan diputuskan bersama atas dasar melihatkan prestasi semasa pasukan serta dalam usaha kelab untuk memelihara keadaan dan perhubungan di antara para pemain, penyokong dan imej kelab secara keseluruhannya.” tulis kenyataan kelab.

Sementara itu, pihak kelab memaklumkan kekosongan yang ditinggalkan oleh Tomislav akan digalas oleh penolong ketua jurulatih, Badrul Afzan buat sementara waktu.

Sebagai rekod, Tomislav dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu FC bermula 1hb Disember 2022. Sebelum itu, Tomislav berperanan sebagai Pengarah Teknikal Terengganu FC bermula 1hb Mac 2022.

Featured Image: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd