
Pasukan kedua tercorot Liga Super iaitu Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) didenda RM5,000 susulan mempromosikan penstriman langsung (bukan penyiar rasmi) di platform media sosialnya pada 27hb September lalu.
Selain itu, kelab berjulukan Kijang Emas itu turut diberikan amaran pertama oleh Malaysian Football League (MFL) atas kesalahan terbabit sepertimana kenyataan media yang disiarkan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
MFL menjelaskan kesalahan tersebut jelas melanggar Peraturan Media seperti yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2024.
Penganjur liga tempatan itu turut memberikan amaran bahawa hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada mana-mana kelab yang melanggar peraturan tersebut sekiranya perkara yang sama berulang lagi,
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Giorgio Pompili Rossi memaklumkan Astro selaku penyiar rasmi dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai rakan penyiar rasmi sentiasa berusaha memberikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih komprehensif bagi Liga Malaysia.
Oleh demikian, aktiviti mempromosikan atau menggalakkan tontonan di laman web haram tidak seharusnya berlaku selain berharap penyokong Liga Malaysia menunjukkan tanda sokongan kepada kelab kegemaran masing-masing dengan menonton perlawanan secara langsung di platform yang telah disediakan.