FAM & Warner Music Bekerjasama Hasilkan Lagu Skuad Harimau Malaya

October 2, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya akan mempunyai sebuah lagu tema rasmi selepas daripada ini.

Perkembangan ini hadir susulan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Warner Music Malaysia tampil menjalinkan kerjasama sulungnya melibatkan kedua-dua pihak.

Pada masa yang sama, kerjasama ini juga menobatkan sebagai Rakan Penaja Muzik Rasmi Harimau Malaya.

Jalinan tersebut dimeterai oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian dalam satu majlis yang dilangsungkan di PJ Performing Arts Centre, pada hari ini.

Bagaimanapun, lirik serta artis yang akan menyanyikan lagu tersebut belum  dimuktamadkan lagi oleh Warner Music Malaysia setakat ini.

Dijangka ianya akan dapat disajikan kepada para pemain serta penyokong dalam tempoh enam bulan akan datang atau ketika Malaysia turun memulakan kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac hadapan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd