Aaron-Wooi Yik Terima RM150,000 Daripada 100PLUS – Mahu Belanja Makan Besar
October 3, 2024 Hafizuddin Omar

Kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa daripada Sukan Olimpik 2024 Paris membuatkan jenama minuman isotonik No.1 Malaysia, 100PLUS memberikan insentif sebanyak RM150,000 kepada mereka.

Insentif itu diberikan khas oleh 100PLUS sebagai penghargaan kepada Aaron-Wooi Yik yang juga merupakan duta kepada jenama mereka.

Menurut Pengarah Pemasaran F&N, Leong Wai Yin memaklumkan jumlah RM150,000 yang diberikan kepada Aaron-Wooi Yik itu meningkat lebih satu kali ganda berbanding yang diberikan ketika membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 Tokyo – RM60,000.

Sementara itu, Aaron mengucapkan terima kasih atas insentif yang diberikan manakala Wooi Yik mengakui terkejut dengan jumlah besar insentif yang diberikan oleh 100PLUS terbabit. 

Mengulas mengenai insentif itu juga, Wooi Yik mendedahkan akan menggunakan wang tersebut untuk membelanjakan ahli keluarga serta ahli pasukannya termasuk jurulatih makan-makan dalam masa terdekat.

“Sudah tentu belanja makan buat keluarga dan juga ahli pasukan beregu lelaki kita termasuk jurulatih yang banyak tolong kita, kita akan buat makan besar untuk menghargai mereka,” katanya ketika ditemui dalam majlis pemberian insentif di Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari ini.

Bermula minggu hadapan, gandingan yang menghuni ranking kelima dunia ini akan kembali ke gelanggang untuk menghadapi saingan Terbuka Artik 2024.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan pertama Aaron-Wooi Yik dalam siri Jelajah Dunia BWF selepas beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos lalu.

Komen