RM100,000 bukanlah satu nilai yang besar terutamanya bagi pemain badminton profesional atau bebas (independent) seperti Lee Zii Jia. Pemain berusia 26 tahun itu mendedahkan nilai sebanyak RM100,000 itu hanya mampu membiayai perbelanjaannya dalam tiga kejohanan antarabangsa sahaja.
Zii Jia berkongsikan perkara berkenaan ketika ditemui selepas menerima insentif khas sebanyak RM100,000 daripada jenama minuman isotonik No.1 negara, 100PLUS dalam satu majlis bertempat di Majlis Sukan Negara (MSN), pada hari ini.
Insentif itu disampaikan oleh Pengarah Pemasaran F&N, Leong Wai Yin kepada Zii Jia yang juga Duta Jenama 100PLUS sebagai penghargaan atas kejayaan membawa pulang pingat gangsa daripada temasya Sukan Olimpik 2024 Paris, Ogos lalu.
Tambah Zii Jia lagi, sebagai pemain profesional, beliau perlu berusaha dengan gigih secara sendiri untuk menarik lebih banyak penajaan dan wang ganjaran.
“Inilah realiti, apabila ada keputusan, sudah tentu penaja dan duit akan datang,” katanya ketika ditemui oleh pengamal media.
Pada masa yang sama, Zii Jia sangat menghargai segala bentuk sokongan yang diberikan oleh 100PLUS termasuk wang ringgit pada ketika ini dalam membantunya sebagai pemain badminton profesional.
Difahamkan, 100PLUS telah memberikan sokongan kepada Zii Jia sejak dirinya berusia 19 tahun sehingga dia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara sendirian sehingga waktu ini.
Zii Jia yang merangkul juara Terbuka Australia dan Terbuka Thailand pada tahun ini turut mengharapkan lebih banyak jenama-jenama datang untuk memberikan sokongan dan penajaan bukan sahaja buat dirinya bahkan pemain-pemain profesional yang lain.
Zii Jia akan kembali beraksi di atas gelanggang dengan menyertai Terbuka Artik 2024 bermula minggu hadapan diikuti dengan Terbukan Denmark 2024 pada minggu berikutnya.