ACL2: Selangor FC Kutip 3 Mata Pertama Di Stadium MBPJ
October 3, 2024 Hafizuddin Omar

Kutipan tiga mata yang pertama itu dijelmakan hasil meraih kemenangan menerusi jaringan tunggal oleh pemain tengah import, Yohandry Orozco pada minit ke-11 permainan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pemain berusia 33 tahun tersebut melakukan jaringan tersebut setelah menyudahkan hantaran Ronnie Fernandez dari sebelah kiri ketika melakukan serangan balas ke atas skuad kendalian Mustafa Ati Goksu.

Selepas jaringan tersebut, percubaan demi percubaan dilakukan oleh skuad berjulukan Gergasi Merah ke atas gawang lawan yang dikawal Florencio Badelic Jr. namun kesemuanya tidak menemui sasaran.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga pengadil perlawanan dari Tajikistan, Nasrullo Kabirov meniup wisel menamatkan permainan.

Hasil daripada kemenangan pada malam ini, Selangor FC kini berada di kedudukan kedua Kumpulan H selepas mengharungi dua perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan lain melibatkan Kumpulan H, kelab Republik Korea, Jeonbuk Hyundai Motors FC berpesta gol menumpaskan Muangthong United FC dari Thailand dengan keputusan 4-1 sekaligus mengukuhkan kedudukannya selaku peneraju kumpulan.

Perlawanan berikutnya, Selangor FC akan melayan kunjungan Jeonbuk Hyundai Motors FC di Stadium MBPJ pada 23hb Oktober. 

Featured Image: Selangor FC

Komen