Memang Kita Perlukan Seorang ‘Playmaker’ No.6 – Nidzam Jamil
October 4, 2024 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil bukan sahaja tersenyum puas dengan kemenangan 1-0 yang dilakar pasukan bimbingannya ke atas Dynamic Herb Cebu FC pada aksi kedua melibatkan Kumpulan H dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Bahkan jurulatih berusia 44 tahun tersebut turut berpuas hati dengan persembahan pemain tengah import baharu dari Croatia, Nikola Jambor melakukan debut bersama skuad Gergasi Merah setelah dimasukkan menggantikan Ali Olwan sekitar minit ke-80.

Nidzam menyifatkan kehadiran pemain yang mesra dengan panggilan Niko berusia 28 tahun tersebut memberikan variasi serta mengisi kelompongan bahagian tengah Selangor FC. 

“Niko memberi gaya permainan yang berbeza, selesa dengan bola, semasa kita kenal pasti dia, memang kita perlukan seorang pemain No.6 bukan yang bersifat ‘destroyer’, kita perlukan seorang pemain No.6 bersifat sedikit ‘playmaker’ yang boleh keluar daripada zon bawah, banyak kali dia buat tadi (semalam),” 

“Jadi, dia baru 7 ke 8 hari dengan kita, tak sampai dua minggu pun, dan aksi terakhirnya saya rasa pada Mei, untuk apa yang dia tunjukkan dalam 10-15 minit ini saya rasa bagus,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Sementara itu, turut sama mencipta debut dalam perlawanan yang disaksikan seramai 8,158 orang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada malam tadi ialah Mohammad Abualnadi dari Jordan.

Difahamkan, Abualnadi, 23 tahun, ditandatangani Selangor FC untuk memberikan pilihan pemain buat Nidzam di posisi bek kiri selain Zikri Khalili, 22 tahun, khususnya bagi menghadapi saingan ACL2.

Untuk perlawanan seterusnya dalam saingan ACL2, Selangor FC dijadualkan bertemu Jeonbuk Hyundai Motors FC pada 23hb Oktober kelak.

Featured Image: Selangor FC

Komen