India Beraksi Satu Perlawanan Antarabangsa Tier 1 Pada Oktober – Sama Seperti Malaysia
October 4, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menghuni ranking ke-126 dunia, India bakal bermain satu sahaja Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA pada Oktober 2024 – sama seperti Malaysia.

Perlawanan tersebut adalah menentang Vietnam pada 9hb Oktober di Stadium Thien Truong di Nam Dinh dalam kejohanan persahabatan tiga negara anjuran Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

India sepatutnya diatur untuk bermain dalam satu lagi perlawanan pada kejohanan terbabit iaitu menentang pasukan dari asia barat, Lubnan pada 12hb Oktober.

Namun begitu, aksi tersebut tidak dapat dijalankan susulan Lubnan memaklumkan kepada VFF tidak dapat terbang meninggalkan Lubnan untuk menyertai kejohanan terbabit berikutan serangan udara oleh Israel ke atas negaranya, lapor Times of India.

Bukan itu sahaja, serangan tersebut turut membuatkan Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) telah menangguhkan kesemua liga domestiknya bagi tempoh masa yang tidak dapat dipastikan.

Difahamkan, VFF juga sukar untuk mencari pengganti bagi Lubnan dalam tempoh masa yang singkat.

Sementara itu, Malaysia, ranking ke-132 dunia, pula hanya turun menentang New Zealand dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bagi Jendela FIFA untuk Oktober. 

Pada ketika ini, India dan Malaysia yang berbeza enam anak tangga sedang berebut kedudukan terakhir dalam Balang 1 sebelum berlangsungnya undian bagi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Komen