Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Pau Marti mengesahkan Malaysia akan bermain satu sahaja Perlawanan Antarabangsa Tier 1 semasa Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA pada Oktober 2024.
Perlawanan tersebut adalah menentang pasukan dari benua oceania iaitu New Zealand yang berada di ranking ke-95 dunia pada 14hb Oktober di Auckland.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Pau menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, Pau memaklumkan FAM cuba untuk mengatur satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang pasukan dari oceania.
Mereka telah berhubung dengan lapan buah pasukan dari rantau tersebut seperti Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea.
Akan tetapi, tiada sebarang perlawanan dapat dimuktamadkan kerana kesemuanya mempunyai komitmen untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 10hb, 11hb dan 12hb Oktober masing-masing.
Namun begitu, FAM berhasil mengatur satu Perlawanan Antarabangsa Tier 2 menentang sebuah kelab yang tidak dinamakan yang berpangkalan di New Zealand pada 11hb Oktober.
Tambah Pau, perlawanan tersebut akan menjadi persiapan yang berkualiti buat skuad berjulukan Harimau Malaya sebelum turun menentang New Zealand.
Featured Image: Football Association of Malaysia