JDT Lengkapkan Kejuaraan Berganda Selepas Muncul Juara Piala Futsal Malaysia 2024
October 7, 2024 Hafizuddin Omar

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meraih kejuaraan berganda pada musim ini selepas dinobatkan juara Piala Futsal Malaysia 2024 dengan menumpaskan Selangor FC dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Kejuaraan tersebut dirangkul oleh JDT bimbingan Juanito selepas menumpaskan Selangor dengan keputusan 3-2 hasil jaringan Bruno Taffy (4’), Firdaus Ambiah (27’) dan Azwann Ismail (33’).

Sementara itu, Selangor pula memperoleh dua jaringannya menerusi Syahir Iqbal (17’) dan Aidil Shahril Rosli (25’).

Hasil meraih kejuaraan ini, JDT membawa pulang ganjaran wang tunai bernilai RM25,000 sementara Selangor selaku naib juara pula meraih ganjaran sebanyak RM15,000.

Sebelum perlawanan akhir itu juga, Pahang Rangers FC berhasil muncul selaku pemenang ketiga Piala Futsal Malaysia 2024 dengan menundukkan Kuala Lumpur City FC menerusi skor 4-2.

Selaku pemenang tempat ketiga, Pahang Rangers FC meraih wang tunai sebanyak RM10,000. 

Untuk makluman, kejuaraan ini hadir kira-kira dua bulan selepas JDT mengesahkan kejuaraan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 dengan menundukkan Kuala Lumpur City FC dengan agregat 9-2 dalam perlawanan akhir tersebut.

Sebagai tambahan, ini juga merupakan kejuaraan berganda pertama dicipta JDT dalam arena futsal negara sejak pasukan itu ditubuhkan pada 2023.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen