Satu kerugian buat skuad bola sepak kebangsaan sekiranya terpaksa beraksi dalam satu sahaja Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada November kelak, demikian nada yang dikongsikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi.
Menurutnya, situasi itu akan mempengaruhi kutipan mata serta kedudukan skuad berjulukan Harimau Malaya dalam Ranking Dunia FIFA.
Oleh demikian, FAM sedang berusaha untuk memuktamadkan sebuah lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan hadapan selepas mengesahkan aksi pertemuan menentang India pada 19hb November kelak.
Menurut Yusoff, FAM sedang mengintai pasukan dari negara berdekatan dengan India atau rantau asia selatan untuk diatur bertemu Harimau Malaya bimbingan Pau Marti pada bulan berkenaan.
“Saya fikir untuk India ni memang kita dah sahkan dan kita harap satu negara lagi memang sekretariat sedang mencari, benua tu pun bukan menjadi persoalan kita sebenarnya, (bagi) kita yang penting ada pasukan yang bersedia untuk bermain,”
“Biasanya di India ni kita harap pasukan yang berdekatanlah dengan India,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-12 Bagi Penggal 2021-2025.
Untuk makluman, antara negara yang berada berdekatan dengan India atau di rantau asia selatan ialah Maldives (163 dunia), Nepal (176 dunia), Bangladesh (186 dunia), Bhutan (184 dunia), Pakistan (197 dunia) dan Sri Lanka (200 dunia).
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan FAM tidak menolak sekiranya ada pasukan dari benua lain yang ingin menentang Harimau Malaya pada jendela berkenaan.
“Apapun kita cuba yang terbaik yang untuk dapatkan pasukan dan saya berharap di India nanti kita dapat dua pasukan,” katanya lagi.
Sementara itu, Yusoff menjelaskan Harimau Malaya terpaksa beraksi dalam satu sahaja Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu menentang New Zealand (95 dunia) pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA bulan ini berikutan negara-negara lain di rantau oceania mempunyai komitmen Kelayakan Piala Dunia 2026.
Sebagai ganti, sebuah kelab yang berpangkalan di New Zealand dipilih untuk bertemu Harimau Malaya dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 2 pada 11hb Oktober nanti.
Featured Image: Football Association of Malaysia