Trofi Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) akan dipamerkan di pusat beli-belah, AEON Mall Shah Alam pada 12hb Oktober 2024.
Kehadiran trofi berwarna emas yang dijulang oleh skuad bola sepak kebangsaan pada tahun 2010 itu ke tanah air adalah sebahagian daripada Jelajah Trofi Piala ASEAN Mitsubishi Electric yang diadakan dari 29hb September hingga 9hb November.
Menariknya, pameran trofi tersebut pada Sabtu kelak akan turut disertai oleh tiga tonggak yang merangkul kejuaraan Piala AFF 2010 bersama skuad berjulukan Harimau Malaya iaitu Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali sebagai Matyo, Amri Yahyah dan Mahali Jasuli.
Kemasukan ke acara ini adalah percuma manakala pas “Meet & Greet” boleh dimenangi oleh orang ramai menerusi laman sesawang dan platform media sosial, ASEAN United FC.
Pada hari itu juga, Matyo, Amri dan Mahali akan menghadiri klinik bola sepak khas buat kelompok pemain muda. Klinik ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan oleh rakan tajaan utama, Mitsubishi Electric sempena jelajah ini.
Bercakap mengenai klinik tersebut, ianya akan dikendalikan oleh jurulatih FC Imabari yang akan mendedahkan peserta kepada permainan mini menggunakan kaedah Okada – kaedah yang dinamakan sempena nama bekas jurulatih Jepun, Takeshi Okada.
Untuk makluman semua, Okada terkenal berikutan berjaya membawa Jepun ke Piala Dunia FIFA pertama mereka pada 1998 dan ke peringkat kalah mati semasa Piala Dunia FIFA 2010.
Sebagai tambahan, AEON Mall Shah Alam menjadi perhentian ketiga Jelajah Trofi Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 selepas singgah di Bangkok dan Singapura pada 28hb September dan 5hb Oktober masing-masing.
Selepas ini jelajah ini diteruskan ke Hanoi (26hb Oktober) dan Jakarta (2hb November) sebelum berakhir di Manila (9hb November).
Saingan Piala ASEAN 2024 pula akan bermula dengan perlawanan kelayakan melibatkan Brunei dan Timor Leste pada 8hb dan 15hb Oktober diikuti dengan peringkat kumpulan pada 8hb Disember kelak.