Atlet-atlet Para SUKMA Pahang yang membutirkan pingat emas di temasya Para SUKMA XII yang berlangsung di Sarawak dari 22hb hingga 28hb September lalu akan mendapat insentif sebanyak RM6,000 daripada Kerajaan Negeri Pahang.
Dimaklumkan, jumlah terbabit meningkat sebanyak RM1,000 berbanding sebelum ini serta menyamai insentif yang diberikan kepada atlet-atlet SUKMA Pahang.
Peningkatan dan pemberian insentif kepada atlet-atlet Para SUKMA Pahang itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail setelah dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
Sementara itu, insentif bagi pemenang pingat perak dan gangsa pula adalah sebanyak RM3,000 dan RM2,000 masing-masing.
Sebagai rekod, kontinjen Para SUKMA Pahang telah berjaya mengutip 29 pingat secara keseluruhan dimana 15 daripadanya adalah emas. Manakala pingat perak dan gangsa pula adalah sebanyak lima dan sembilan butir masing-masing.
Difahamkan, jumlah 15 butir pingat emas itu melepasi sasaran 10 butir pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.
Featured Image: Facebook Wan Rosdy Bin Wan Ismail