Kejohanan ragbi 10 sebelah yang cukup ikonik anjuran Kelab Ragbi COBRA iaitu COBRA 10s akan kembali menemui peminatnya pada 2hb & 3hb November di Padang Astaka, Petaling Jaya.
Edisi ke-51 kejohanan ini akan disertai oleh 14 buah pasukan secara keseluruhan dimana empat daripadanya merupakan pasukan dari Malaysia iaitu COBRA, KL Tigers RFC, SSTMI Tsunami dan Royal Town Warriors.
Sementara itu 10 pasukan yang lain ialah NSC Silverbacks, Casuarina Cougras (Australia), The Ranga Beasts, Global Lions NZ, Varsity Vipers, Palmy Streel (New Zealand), NTK (Afrika Selatan), Pom Halequnis (Papua New Guinea), Usos By Koko Samoa (Samoa) dan Penguin Rugby (United Kingdom).
Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengembangkan lagi sukan ragbi di Malaysia. Sejumlah RM90,000 telah diluluskan oleh KBS menerusi Geran Padanan Sukan bagi membantu penganjuran COBRA 10s 2024.
Selain KBS, penganjuran COBRA 10s 2024 turut mendapat sokongan dan penajaan sebanyak RM100,000 daripada IJM Corporation Berhad, RM30,000 daripada West Coast Expressway serta Malaysia Airlines, SkyBlue Media dan beberapa entiti lain lagi.