Terbuka Artik: Zii Jia Lepas, Jun Hao Kandas
October 9, 2024 Hafizuddin Omar

Dua nasib berbeza dialami oleh perseorangan lelaki negara yang turun beraksi di Terbuka Artik 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 500 – di Vantaan Energia Areena, Vantaa, Finland pada minggu ini.

Pemain lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia memulakan kempen tersebut dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan pemain Perancis, Christo Popov pada pusingan 32 yang berlangsung pada hari ini.

Zii Jia yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan melakar kemenangan bergaya secara “straight set” ke atas Popov menerusi skor 21-15 dan 21-11 dalam tempoh masa 43 minit.

Kemenangan itu sekaligus mengesahkan kemaraannya ke pusingan 16 dan membawanya bertemu pemain Jepun yang menghuni ranking ke-30 dunia, Yushi Tanaka.

Sementara itu, nasib yang berbeza menimpa seorang lagi perseorangan lelaki negara yang turut beraksi dalam Terbuka Artik 2024 iaitu Leong Jun Hao.

Pemain berusia 25 tahun ini terpaksa akur tersingkir awal daripada kejohanan ini apabila tewas di tangan pemain Hong Kong yang menghuni ranking ke-16 dunia, Lee Cheuk Yiu pada pusingan 32.

Pertarungan yang berlangsung selama 44 minit itu menyaksikan Jun Hao tumpas secara “straight set” menerusi skor 19-21 dan 9-21.

Keputusan itu menjadikan Jun Hao kini tewas dua kali berturut-turut di tangan Cheuk Yiu selepas tumpas pada pertemuan sulungnya di Terbuka Hong Kong 2024 pada bulan lalu.

Featured Image: Facebook VICTOR

Komen