Kejohanan 7s Asia: Indra Sertai Malaysia Sevens Untuk Timba Pengalaman Baharu
October 9, 2024 Hafizuddin Omar

Usia 43 tahun tidak menjadi batu penghalang buat penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super Malaysia, Indra Putra Mahayuddin untuk mencuba dan menimba pengalaman baharu dalam karier bola sepaknya.

Itu menjadi alasan dan motivasi peribadinya untuk membarisi skuad Malaysia Sevens bagi beraksi dalam Kejohanan Asia 7s yang akan berlangsung dari 10hb hingga 13hb Oktober di EV Arena, Elmina.

Tambahan pula, skuad itu turut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa bekas pemain skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya seperti Abdul Manaf Mamat dan Razman Roslan sekaligus mengimbau kenangan lama disamping mencipta kenanangan baharu bersama-sama.

“Ia benda baharu dan pengalaman baharu bagi saya, saya nak mencuba, dan apabila diberi peluang saya akan ambil dan sahut cabaran itulah,” katanya ketika ditemui di Sidang Media & Hari Media Kejohanan Asia 7s pada hari ini.

“Mereka pun teruja nak bermain dan kami dapat berkumpul bersama (selepas) sekian lama tak pernah berjumpa dan itu akan mengeratkan lagi kami sebagai pemain dan bermain sebagai satu pasukan, itu merupakan satu perkara yang manis bagi kami,” jelasnya lagi.

Secara peribadinya, Indra yang beraksi bersama PT Athletic FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro melihat gaya permainan bola sepak 7 lebih pantas dan memerlukan lebih pergerakan berbanding bola sepak 11 sebelah.

“Pemain-pemain perlu bagi komitmen yang tinggi, kita takde masa untuk berfikir, perlu sentiasa bergerak dan boleh menukar pemain pada bila-bila masa,” ujarnya. 

Untuk makluman, skuad Malaysia bimbingan Sulaiman Hussin akan memulakan kempen Kejohanan 7s Asia ini dengan menentang naib juara edisi lalu, India diikuti dengan Filipina dan Hong Kong peringkat Kumpulan B.

Dua teratas peringkat kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir sebelum melangkah ke perlawanan akhir untuk merebut gelaran juara edisi kali ini.

Komen