Seramai tiga pasangan beregu lelaki negara berjaya meneruskan langkah ke pusingan 16 Terbuka Artik 2024 yang berlangsung pada minggu ini.
Beregu lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun muncul yang pertama mengesahkan tempat ke peringkat tersebut selepas berhasil menundukkan Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana pada pusingan 32.
Pertarungan yang berlangsung selama satu jam itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun menumpaskan juara Terbuka Korea 2024 terbabit dengan keputusan 17-21, 21-18 dan 21-12.
Tidak lama kemudian, jejak tersebut diikuti pula oleh juara Terbuka China 2024, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin apabila berhasil menumpaskan lawannya di peringkat yang sama iaitu Rasmus Kjær dan Frederik Søgaard.
Dalam pertarungan yang memakan masa selama 61 minit itu,gandingan Denmark yang menghuni ranking ke-14 dunia terbabit tewas di tangan Sze Fei-Izzuddin menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 11-21, 23-21 dan 21-15.
Akhir sekali, beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut sama mengiringi kemaraan ke pusingan 16 selepas berjaya menjinakkan beregu China, Chen Bo Yang dan Liu Yi secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-18 dalam tempoh masa 45 minit.
Bagaimanapun, episod kedukaan terpaksa dialami oleh dua wakil negara iaitu Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi serta Arif Junaidi dan Yap Roy King apabila tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan 32.
Yew Sin-Ee Yi terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Jelajah Dunia BWF Super 500 ini susulan gagal mengatasi beregu Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard dimana mereka tumpas 14-21 dan 16-21.
Sementara itu, Arif-Roy King pula tewas secara “straight set”di tangan gandingan Chinese Taipei, Lin Bing Wei dan Sui Ching Heng menerusi skor 17-21 dan 19-21.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia