Riyadh Air Metropolitano Nama Baharu Stadium Atletico Madrid
October 10, 2024 Hafizuddin Omar

Stadium yang menjadi gelanggang rasmi bagi Atletico Madrid kini mendapat nama baharu iaitu Riyadh Air Metropolitano.

Riyadh Air yang akan memulakan operasi komersialnya pada 2025 mendapat hak penamaan stadium yang mampu memuatkan 68,000 penonton itu selepas menandatangani perjanjian selama sembilan tahun bersama Atletico Madrid bagi tujuan tersebut.

Ini bermakna stadium yang digunakan Atletico Madrid itu akan dikenali sebagai Riyadh Air Metropolitano sehingga tahun 2033.

Dimaklumkan penggunaan nama Riyadh Air Metropolitano ini akan bermula secara rasmi ketika melayan kunjungan Leganes pada 20hb Oktober dalam saingan LaLiga.

Sebagai rekod, Riyadh Air menjadi entiti ketiga yang mendapatkan hak penamaan stadium milik Atletico Madrid yang dibuka kepada umum pada tahun 2017 selepas Wanda, kumpulan hartanah dari China, dan Civitas, pemaju hartanah berpangkalan di Sepanyol.

Untuk pengetahuan semua, perjanjian ini hadir kira-kira 14 bulan selepas Riyadh Air diperkenalkan menjadi penaja utama kelab dan menghiasi bahagian hadapan jersi-jersi perlawanan skuad senior lelaki Atletico Madrid dalam perlawanan domestik dan antarabangsa.

Komen