Persaraan pemain tengah legenda FC Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol, Andres Iniesta sebagai pemain bola sepak profesional bukan sahaja mendapat penghargaan serta penghormatan daripada para pemain dan jurulatih ternama dunia.
Bahkan pengumuman persaraannya itu turut mendapat coretan penghargaan khas daripada seteru rapat bagi bekas kelabnya iaitu Real Madrid.
Coretan itu diungkapkan sendiri oleh Presiden dan Lembaga Pengarah Real Madrid dengan mengiktiraf, mengagumi dan sayang terhadap salah seorang legenda terbesar Sepanyol dan bola sepak dunia.
“Andres Iniesta telah memperkayakan sukan ini menerusi bola sepak dan nilai-nilainya, tambahan kepada pelbagai trofi yang tidak terkira dimenanginya sepanjang kariernya.”
“Gol ikonik semasa perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan kekal dalam ingatan setiap peminat bola sepak Sepanyol buat selama-lamanya,” tulis kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi skuad berjulukan Los Blancos itu.
Pada masa yang sama, Real Madrid turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Iniesta dan keluarganya yang memasuki fasa baharu dalam hidupnya.
Sebagai rekod, sepanjang kariernya, Iniesta telah turun menentang Real Madrid sebanyak 38 kali kali – terbanyak dalam kariernya – membabitkan pelbagai kejohanan iaitu LaLiga, Copa del Rey, Supercoppa de Espana dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Pada Isnin lalu, Iniesta mengumumkan persaraannya selaku pemain bola sepak profesional pada usia 40 tahun menerusi satu video berdurasi 2 minit dan 20 saat di pelbagai platform media sosialnya.
Persaraannya itu hadir selepas lebih dua dekad “menyepak bola” termasuk bersama Vissel Kobe dan Emirates FC yang beraksi dalam kancah J1 League dan UAE Pro League masing-masing.