Terbuka Artik: Sze Fei-Izzuddin, Wei Chong-Kai Wun Mara Ke Suku Akhir
October 11, 2024 Hafizuddin Omar

Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin serta Man Wei Chong dan Tee Kai Wun memastikan Malaysia masih mempunyai wakilnya di peringkat suku akhir Terbuka Artik 2024.

Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan melakar kemaraan selepas berjaya menyingkirkan beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi dan Hiroki Okamura secara “straight set” 21-16 dan 21-16 pada pusingan 16.

Kemenangan itu membawanya bertemu beregu Indonesia yang menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2024, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir. 

Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun pula melangkah ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 500 ini dengan menumbangkan beregu Scotland, Alexander Dunn dan Adam Pringle juga secara “straight set” 21-10 dan 21-15.

Pada peringkat suku akhir, Wei Chong-Kai Wun akan berentap menentang pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024 dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang.

Liang-Wang yang juga merupakan beregu No.1 dunia mara selepas menewaskan beregu Chinese Taipei, Lin Bing-Wei dan Su Ching Heng secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-12.

Sebagai rekod, Wei Chong-Kai Wun pernah berhadapan Liang-Wang sebanyak empat kali sebelum ini dan kesemuanya berakhir dengan kekalahan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen