Stadium yang menjadi gelanggang bagi Selangor FC iaitu Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menukar rumput “cow grass” yang sedang diguna pakai pada ketika ini kepada jenis bilah halus.
Perkembangan tersebut hadir susulan pemilik kepada stadium berkenaan iaitu MBPJ mengambil geran untuk penukaran rumput bernilai RM200,000 yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Bagaimanapun, status pelaksanaan projek penukaran rumput tersebut belum dilaksanakan sepertimana dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam sidang media yang diadakan di Menara KBS, pada hari ini.
Pada masa yang sama, MBPJ juga belum memutuskan lagi rumput jenis bilah halus yang akan dipilih bagi menggantikan “cow grass” tersebut.
Sebagai rujukan, antara stadium yang menggunakan rumput jenis bilas halus di Malaysia ialah Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Sultan Ibrahim (zeon zoysia) dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (bermuda princess 77).
Selain itu, MBPJ turut menerima geran naik taraf saliran berjumlah RM300,000 dan dimaklumkan projek tersebut akan dimulakan pada November 2024.