Kedah, Perlis, Pulau Pinang & Sabah Tolak Geran RM200,000 – Kekal Guna Padang ‘Cow Grass’
October 11, 2024 Hafizuddin Omar

Padang stadium utama di tiga buah negeri utara semenanjung tanah air serta di utara kepulauan borneo nampaknya kekal menggunakan rumput jenis “cow grass”.

Ini selepas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mendedahkan kerajaan negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah menolak geran berjumlah RM200,000 untuk menukar rumput “cow grass” kepada jenis bilah halus di stadium-stadium utama di negeri masing-masing.

Geran tersebut disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Stadium-stadium berkenaan ialah Stadium Darul Aman, Alor Setar; Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar; Stadium Bandaraya Pulau Pinang dan Stadium Likas, Kota Kinabalu yang turut menjadi gelanggang rasmi bagi beberapa kelab bola sepak yang beraksi dalam kancah Liga Super Malaysia dan liga amatur tempatan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kedah dan Perlis menerusi Perbadanan Stadium Negeri Kedah dan Majlis Sukan Negeri Perlis masing-masing memohon satu lagi geran yang disediakan iaitu naik taraf saliran yang bernilai RM300,000.

Menurut dokumen lampiran yang dikongsikan oleh KBS, kerja-kerja menaik taraf saliran di Stadium Darul Aman dijangka bermula pada Mac 2025 sementara bagi Stadium Tuanku Syed Putra belum dimuktamadkan lagi.

Sementara itu, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Sabah pula menolak kedua-dua tawaran geran tersebut atas alasan sudah berpuas hati dengan keadaan Stadium Bandaraya Pulau Pinang dan Stadium Likas serta tidak mahu menukar rumputnya.

Johor pula tidak memohon kedua-dua geran ini berikutan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang menjadi gelanggang rasmi bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah berada pada tahap yang sempurna.

Untuk makluman, geran ini disediakan oleh KBS supaya stadium-stadium yang dijadikan venue untuk perlawanan bola sepak Liga Malaysia berada dalam keadaan terbaik seperti tiadanya air bertakung atau banjir yang memungkinkan sesuatu perlawanan ditunda terutamanya ketika musim tengkujuh.

Komen