Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang merupakan pemilik Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang bertanding dalam kancah Liga Super Malaysia mendapat presiden serta barisan jawatankuasa yang baharu.
Syed Yazid Syed Omar yang juga merupakan Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd – syarikat yang menguruskan KL City FC muncul sebagai individu yang mengisi kerusi Presiden KLFA terbabit.
Beliau dilantik sebagai presiden baharu selepas memenangi pemilihan pada kongres ke-35 bagi badan induk tersebut selepas mendapat 15 undian mengetepikan pencabarnya yang merupakan pemangku Presiden KLFA, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid yang sekadar meraih 12 undi.
Sementara itu, Naib Presiden KLFA sesi lalu, Datuk Kamarudin Hassan dan tokoh korporat, Dato Seri Wong Yeon Chai pula mengisi jawatan Timbalan Presiden KLFA selepas meraih 18 dan 15 undian masing-masing.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TicketHotline dan Penasihat Setiawangsa Rangers FC, Dato’ Azril Mat Drus serta pengarah filem, Dato’ Afdlin Shauki terpaksa akur terlepas jawatan timbalan presiden selepas sekadar mendapat 11 dan 10 undian masing-masing sahaja.
Manakala empat individu yang mengisi jawatan Naib Presiden KLFA sesi 2024-2028 pula ialah Datuk Ramlan Shahean @ Askolani, Nor Asyikin Jaafar, Datuk Sham Shamrat Sen Gupta dan Senator Datuk Hishamudin Yahaya.
Senarai sepuluh individu yang mengisi kerusi Ahli Jawatankuasa (Exco) KLFA sesi 2024-2028 pula adalah seperti berikut:
- Muhammad Hanafi Jamalludin – 26 undian
- Amir Mahmood Abdul Razak – 25 undian
- Mohd Zushaidey Zulkifli – 16 undian
- Mohd Faizul Mohd Nor – 16 undian
- Mohd Fadil Taib – 16 undian
- Mohd Ismirul Azlan Ismail – 15 undian
- Abdullah Izhar Mohamed Yusof – 14 undian
- Dato’ Mohamed Rozhan Mohd Ghazali – 14 undian
- Khairul Azuan Abd Ghani – 14 undian
- Abdullah Abdul Hamid 14 undian