Gelaran juara bagi kategori beregu lelaki dalam Kejohanan Remaja Dunia BWF 2024 menjadi milik gandingan pemain negara kelahiran Kelantan dan Melaka iaitu Kang Khai Xing dan Aaron Tai.
Ianya susulan pemain berusia 18 dan 17 tahun masing-masing itu berjaya menumpaskan beregu China, Hu Ke Yuan dan Lin Xiang Yi pada perlawanan akhir yang berlangsung di Nanchang, hari ini.
Turun selaku pilihan pertama kejohanan, gelaran juara itu menjelma selepas Khai Xing-Aaron bertarung di atas gelanggang selama satu jam dan lima minit sebelum menumpaskan lawan mereka dengan skor 21-18, 15-21 dan 21-18.
Pungutan tersebut sekaligus menobatkan Khai Xing-Aaron yang juga merupakan beregu lelaki remaja No.1 dunia secara rasmi selaku juara dunia remaja.
Sebagai rekod, ini juga merupakan julung kalinya selepas 13 tahun beregu remaja lelaki negara merangkul kejuaraan di kejohanan terbabit selepas Nelson Heg dan Teo Ee Yi menjuarainya pada edisi 2011.
Sementara itu, sepasang lagi beregu negara, Dania Zaidi dan Low Zi Yu yang beraksi dalam kategori beregu wanita terpaksa akur dengan gelaran naib juara susulan tumpas di tangan beregu Jepun, Ririna Haramoto dan Aya Tamaki.
Gandingan yang merangkul pingat emas di temasya SUKMA 2024 tewas perlawanan akhir yang berlangsung petang tadi dengan keputusan 17-21 dan 17-21 dalam tempoh masa 43 minit.
Bagaimanapun, kemaraan mereka ke perlawanan akhir dan meraih gelaran naib juara itu merupakan yang pertama dilakukan oleh beregu wanita negara selepas enam tahun.
Untuk makluman, beregu wanita negara yang berjaya tampil di pentas akhir tersebut ialah Pearly Tan dan Toh Ee Wei ketika beraksi di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2018.
Featured Image: BAM