Terbuka Artik: Beregu No.2 Tumbang, Sze Fei-Izzuddin Raih Gelaran Super 500

October 13, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Yonex Swiss Open 2022

Beregu lelaki negara yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bergerak secara bebas (independent) 1hb September lalu, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin menambah satu lagi gelaran juara dalam karier badminton mereka.

Ianya hadir susulan Sze Fei-Izzuddin berjaya mengesahkan kejuaraan Terbuka Artik 2024 – salah satu daripada siri kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 – dengan menumpaskan Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada hari ini.

Bagaimanapun gelaran terbabit tidak datang bergolek dengan mudah ke dakapan Sze Fei-Izzuddin.

Gandingan negara yang berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu terpaksa berentap menentang Kim-Anders selama satu jam dan 12 minit terlebih dahulu sebelum dapat menoktahkan perlawanan dengan skor 15-21, 21-15 dan 21-19.

Hasil daripada kejuaraan tersebut, wang tunai bernilai AS$33,180 bersamaan sekitar RM142,000 serta tambahan 9,200 mata menjadi milik Sze Fei-Izzuddin.

Untuk makluman semua, ini merupakan gelaran kedua dirangkul Sze Fei-Izzuddin sejak meninggalkan BAM selepas menjuarai Terbuka China 2024 – siri kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 – menghampiri penghujung September lalu.

Sementara itu, beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa akur dengan gelaran naib juara di kejohanan yang sama susulan tumpas di tangan pasangan China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.

Pearly-Thinaah tewas secara “straight set” menerusi skor 12-21 dan 17-21 dalam tempoh masa 58 minit.

Featured Image: Swiss Open

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd