Zaidatul Husniah Pemegang Rekod Kebangsaan 100m Wanita Baharu – 11.49s
October 14, 2024 Hafizuddin Omar

Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis 2024 menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkifli muncul sebagai pemegang rekod kebangsaan bagi acara pecut 100 meter (m) wanita yang baharu.

Pelari berusia 31 tahun berkenaan menempa nama sebagai pemegang rekod kebangsaan yang baharu selepas memenangi perlumbaan akhir acara berkenaan di Stadium Tuankua Syed Putra pada Sabtu dengan catatan masa 11.49 saat (s).

Bertambah manis, catatan masa itu juga memadam catatan masa 11.50s yang dilakar oleh G. Shanti ketika beraksi di Kuala Lumpur pada 7hb Mei 1993 – sekitar 31 tahun lalu.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga bagi acara 100m wanita Terbuka Perlis 2024 pula menjadi milik Nur Afrina Batrisyia Rizal dan Azreen Nabila Alias dengan catatan masa 11.91s dan 12.00s masing-masing. 

Featured Image: Kesatuan Olahraga Malaysia

Komen