Skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya Harimau Malaya mengalami kekalahan besar ketika bertemu New Zealand bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1, pada hari ini.
Aksi yang berlangsung di Stadium North Harbour itu menyaksikan pasukan tuan rumah berjulukan All White melakar kemenangan dengan keputusan 4-0 ke atas Harimau Malaya.
Keempat-empat jaringan tersebut hadir pada babak kedua menerusi Elijah Just (53’), Matthew Garbett (61’), Chris Wood (72’) dan Logan Rogerson (90’) selepas seri tanpa sebarang jaringan pada babak pertama.
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan pertama Harimau Malaya di bawah bimbingan pemangku ketua jurulatih, Pau Marti dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 selepas meraih kemenangan ke atas Filipina dan Lubnan pada bulan lalu.
Pada masa yang sama, kekalahan di tangan pasukan yang menghuni ranking ke-95 dunia ini juga menyebabkan Harimau Malaya hilang 3.78 mata untuk pengiraan Ranking Dunia FIFA.
Hal ini memungkinkan Harimau Malaya jatuh satu anak tangga berbanding kedudukan semasanya, ranking ke-132 dunia, sekaligus menghuni ranking ke-133 dunia pada kemaskini yang berikutnya.
Featured Image: FAM