Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang baharu, Syed Yazid Syed Omar tidak menunggu lama untuk mengotakan janjinya bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji melibatkan pemain-pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) – kelab bola sepak milik KLFA.
Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada pihak media pada hari ini, Syed Yazid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan telah membayar sebulan gaji kepada para pemain kelab berjulukan The City Boys terbabit.
“Untuk permulaan, kita sudahpun mula membayar satu bulan gaji kepada pemain-pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) berserta dengan sebahagian caruman KWSP dan PERKESO.” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan satu muka surat tersebut.
Selain itu, Syed Yazid turut memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyalurkan dana sebanyak RM1 juta pada penghujung bulan ini.
“Dengan dana ini, semestinya kita akan dapat menyelesaikan sebahagian lagi tunggakan tersebut.” ujarnya lagi.
“Walaubagaimanapun, jumlah tersebut masih belum cukup untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan sedia ada dan menjadi tanggungjawab saya dan barisan Jawatankuasa Eksekutif untuk mencari solusi bagi menyelesaikan masalah yang telah lama berlaku di dalam KLFA dan KL City FC di samping beberapa pasukan lain yang berada di bawah pengurusan dan pemantauan KLFA,” tambahnya.
Sebelum ini, dilaporkan terdapat pemain KL City FC yang mengalami tunggakan bayaran gaji sehingga mencecah tujuh bulan lamanya selain tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Untuk makluman semua, Syed Yazid dilantik sebagai Presiden KLFA baharu secara rasminya pada Sabtu lalu selepas berjaya memenangi perebutan kerusi presiden denga 15 undi mengatasi pemangku presiden, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid yang meraih 12 undi.
Featured Image: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur