Kelab berpangkalan di Putrajaya yang beraksi dalam kancah Liga A1 Semi-Pro 2024-25 iaitu PT Athletic Football Club menukar namanya sekali lagi.
Menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini, kelab yang disertai oleh beberapa bekas pemain ternama Liga Super seperti Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin, Syazwan Zainon dan lain-lain lagi kini dikenali sebagai Putrajaya Antlers Football Club (PAFC).
Dimaklumkan nama baharu itu telah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).
“Keputusan untuk penjenamaan semula kelab ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk merapatkan lagi hubungan antarana komuniti di Wilayah Persekutuan Putrajaya serta sekitarnya dan seiring dengan visi serta nilai yang kami ingin membawa nama Putrajaya dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa,” tulis kenyataan oleh pihak pengurusan kelab terbabit.
Selaras dengan pengumuman ini, pihak pengurusan akan melakukan kemaskini terhadap logo kelab, laman sesawang dan profil-profil media sosial mereka.
Bagaimanapun, nama PT Athletic FC kekal digunakan dalam kancah Liga A1 Semi-Pro sehingga berakhirnya saingan musim ini. Untuk makluman semua, ketika penubuhannya pada awal tahun ini, kelab ini menggunakan nama Putrajaya Athletic FC.