Pasukan yang menghuni tangga kedua Liga Super pada ketika ini, Selangor FC nampaknya telah menemui individu untuk menggantikan kekosongan jawatan Penolong Ketua Jurulatih yang ditinggalkan oleh Conor Nestor.
Menerusi makluman oleh pihak kelab berjulukan Gergasi Merah tersebut pada Isnin, individu yang dipilih untuk mengisi kekosongan tersebut ialah Shahrom Kalam – ketua jurulatih Gombak FC.
Shahrom, 39 tahun, bukan nama asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mahupun penyokong tegar Merah Kuning dimana beliau pernah menyarung jersi skuad kebangsaan serta berkhidmat sebagai kapten Selangor pada musim 2014-2016.
Untuk makluman, Shahrom yang membimbing Gombak FC sejak April lalu telah membawa pasukan berkenaan menghuni tangga kelapan Liga A1 Semi-Pro selepas mengharungi 15 perlawanan musim ini.
Sementara itu, Selangor FC turut mengikat seorang lagi individu di posisi penolong ketua jurulatih iaitu Abdi Hassan, ketua jurulatiha skuad Selangor FC Bawah 23 Tahun (B-23) secara “interim”.
Ketika ini, Selangor B-23 berada di kedudukan kedua dalam carta Piala MFL selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Untuk makluman semua, posisi penolong ketua jurulatih mengalami kekosongan selepas Conor menerima tawaran untuk menjadi Ketua Jurulatih Boeung Ket FC yang beraksi dalam kancah Liga Premier Kemboja (CPL).
Featured Image: AFL