Tourism Selangor Berkolaborasi Bersama SIC Sempena MotoGP Malaysia – Promosi Tahun Melawat Selangor 2025
October 15, 2024 Hafizuddin Omar

Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor, Tourism Selangor tampil berkolaborasi bersama Sepang International Circuit (SIC) bersempena dengan perlumbaan MotoGP Malaysia yang akan berlangsung 1hb hingga 3hb November 2024.

Langkah kolaborasi itu dimeterai bagi mempromosikan Tahun Melawat Selangor 2025 dengan sasaran untuk menarik 8 juta pelancong termasuk 5.6 juta pelancong domestik dan 2.4 juta pelancong antarabangsa.

Semasa berlangsung perlumbaan tersebut, Tourism Selangor akan membuka tapak pameran untuk mengetengahkan pelbagai produk pelancongan seperti FAMA Selangor, HL Dragon Fruit, White Water Rafting, Paragliding Kuala Kubu Bharu, Paragliding Jugra, Mangrove Kayaking serta PLATS Selangor.

Di situ, Tourism Selangor akan memberikan secara percuma produk, makanan serta buah-buahan tempatan kepada pengunjung yang hadir  ke tapak pamerannya sempena karnival acara MotoGP Malaysia.

Selain itu, Tourism Selangor akan turut mengadakan majlis prapelancaran kempen Tahun Melawat Selangor 2025 oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shari  disertakan dengan persembahan oleh Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negeri Selangor pada 3hb November 2024.

Dimaklumkan oleh EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, YB Dato’ Ng Suee Lim, kolaborasi bersama litar kebanggaan negara itu menyaksikan penajaan sebanyak RM500,000 oleh Tourism Selangor.

Selain itu, kerjasama dan kolaborasi melibatkan kedua-dua entiti ini juga menjadi langkah yang penting ke arah menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan pilihan utama. 

Komen