Radio swasta yang berfrekuensi 105.3 FM di Lembah Klang iaitu Suria FM diangkat menjadi Radio Rasmi bagi Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC).
Perkembangan itu hadir selepas Pengarah Urusan PDRM FC, Mohamad Farid Mohamed Yunus dan Pengurus Besar merangkap Penyampai Suria FC, DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid tampil menandatangani dokumen kerjasama dalam satu majlis di Menara Star, pada hari ini.
Selaku Radio Rasmi PDRM FC, secara umumnya, Suria FM akan menyokong, mempromosikan serta menguarkan-uarkan mengenai latihan dan perlawanan melibatkan skuad berjulukan The Cops serta para pemainnya di radio dan platform-platform media sosialnya.
“Mudah-mudahan selepas ini, kerjasama ini akan menyumbang kepada (pertambahan) jumlah pendengar baharu untuk Suria FM dan juga (pertambahan) jumlah penyokong baharu untuk PDRM FC,” ujar DJ Lin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM FC, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin melihat pemeteraian bersama Suria FM ini merupakan satu usaha daripada pihaknya untuk mengembangkan lagi jenama PDRM FC sekaligus menarik lebih ramai orang untuk datang ke stadium menyaksikan perlawanan The Cops.
Tambahnya lagi, Suria FM dipilih untuk bekerjasama dan berkolaborasi kerana hadir dengan tawaran pakej yang bagus dimana turut menyertakan penglibatan penyanyi terkenal, Amir Masdi.
Beliau melihat perkara tersebut memberikan manfaat kepada penyokong PDRM FC samada di lapangan mahupun di atas talian.
Dimaklumkan, kerjasama dan kolaborasi PDRM FC bersama Suria FM ini berlanjutan selama setahun.
Dalam majlis yang sama, skuad bimbingan P. Maniam ini turut melancarkan portal rasminya bagi mengumpulkan dan para peminatnya di dalam satu komuniti selain membuka peluang untuk mendaftar secara rasmi sebagai penyokong PDRM FC.
Featured Image: Suria FM