Bekas Pemilik Kuantan FA & Marcerra United Ditahan Selepas Gagal Lunas Tunggakan Gaji RM1.4 Juta
October 17, 2024 Hafizuddin Omar

Seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang merupakan bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United ditahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah penipuan, pada Rabu.

Individu tersebut ditahan polis setelah didakwa mengingkari perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta yang melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab berkenaan pada tahun 2018.

“Penahanan dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari yang lalu dan Mahkamah yang sama turut memutuskan bahawa individu tersebut perlu dipenjarakan selama seminggu atas kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah tersebut,” kata peguam, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak yang mewakili bekas pemain dan pegawai untuk dua kelab tersebut dalam satu kenyataan.

Dimaklumkan, mahkamah telah memberikan penangguhan selama dua minggu untuk individu tersebut melunaskan tunggakan gaji namun mendiamkan diri dan hanya membayar RM600,000.00 setakat pertengahan 2023 dan baki tunggakan sebanyak RM1.4 juta masih berbaki sehingga kini.

Tambah Suhail, bekas pemilik dua kelab tersebut akan dibawa ke Penjara Kajang dan akan dipenjarakan selama tujuh hari berdasarkan perintah yang diberikan oleh mahkamah.

Pada masa yang sama, pihaknya akan memulakan tindakan jenayah sekiranya bekas pemilik tersebut gagal melunaskan baki tunggakan yang dituntut.

Featured Image: PFAM

Komen